Jurutera ini berhenti kerjayanya dari MAS demi membuka trak BBQ Texas, kini menjadi restoran

Cowboys Barbecue & Grill ialah restoran Malaysia yang menyajikan BBQ Texas. Ditubuhkan pada 2014, kedainya terletak di Ara Damansara, PJ.

Jurutera ini berhenti kerjayanya dari MAS demi membuka trak BBQ Texas, kini menjadi restoran

Nota: Temu bual ini diadakan dalam Bahasa Inggeris, jadi sebarang petikan langsung telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu.

Barbeku Amerika (BBQ) nampaknya cukup memukau mereka yang mengenalinya. Nizar yang pertama kali menemui BBQ Amerika lebih sedekad lalu di Dallas, Texas, merupakan salah seorang daripada mereka.

Pada waktu itu, beliau bekerja dalam industri penerbangan sebagai jurutera dan berkesempatan mengenali budaya BBQ di Texas, Amerika. Menyifatkannya sebagai satu cara hidup, Nizar berkongsi bahawa makan tengahari orang-orang tempatan pada hari Jumaat adalah BBQ. “Dalam jarak 10 batu dari pejabat saya, terdapat lapan tempat yang menghidang BBQ jadi kami tidak kurang pilihan.”

Ia menjadi satu tabiat sehingga setiap kali beliau terhidu bau BBQ, dia akan teruja dan mengeluarkan air liur, “seperti anjing Pavlov,” Nizar bergurau.

Kredit Gambar: Cowboys Barbecue & Grill

Tertarik dengan rasa daging salai BBQ, Nizar melawat beberapa restoran di dalam dan luar Texas yang menyajikannya. Pengalaman ini memberinya kesempatan untuk menguji proses pengasapan daging tersebut. Tanpa penyedarannya pada waktu itu, inilah salah satu faktor kunci kejayaan keusahawannya di masa depan.

Setelah tiga tahun tinggal di Texas, Nizar kembali ke Malaysia. Beliau dengan cepat menyedari bahawa penjualan hidangan BBQ ala Amerika tidak begitu umum di sini.

Maka, dia memutuskan untuk menjadi salah satu perintis dalm industri dan mendirikan Cowboys Barbecue & Grill pada tahun 2014.

Mempolopori industri Texas BBQ tempatan

Pasukan Cowboys Barbecue & Grill / Kredit Gambar: Cowboys Barbecue & Grill

Dengan modal yang terhad untuk memulakan perniagaan, Nizar dan dua rakan kongsi yang lain (yang telah tinggalkan syarikat ini untuk meneruskan minat lain mereka) memutuskan untuk melabur dalam sebuah trak makanan.

Pilihan inilah yang paling menjimatkan kos bagi memulakan perniagaan sambil menguji pasaran. Oleh kerana trak makanan boleh bergerak, maka mereka tidaklah terhad kepada satu kawasan sahaja. Ini juga memberi mereka peluang untuk meluaskan perkhidmatan mereka ke bahagian katering juga.

Untuk meningkatkan potensi kejayaan mereka, ketiga-tiga rakan kongsi turut menyertai pelbagai pesta makanan tempatan. “Kami sangat bernasib baik kerana menjadi salah satu perintis awal trak makanan moden di Lembah Klang. Ini telah membantu kami mendapat banyak liputan media,” Nizar kongsikan.

Kredit Gambar: Cowboys Barbecue & Grill

Walau bagaimanapun, BBQ Amerika pada masa itu masih merupakan sesuatu yang agak baru di Malaysia dan menghadapi beberapa salah tanggapan. Perkara yang paling mengelirukan adalah apabila seseorang menyebut tentang barbeku, orang kita bayangkan memanggang api secara langsung.

Proses merendam dan memasak daging salai selama 10 jam bukanlah pengetahuan umum. “Tetapi bagi kami, berkongsi dengan orang tentang apa yang kami lakukan merupakan sebahagian besar daripada cara kami berinteraksi dengan pelanggan kami. Jadi saya melihat ini sebagai peluang untuk memberi pendidikan dan mempromosikan [masakan Amerika],” kongsi Nizar.

Apabila perniagaan itu berkembang dan mendapat maklum balas yang semakin menggalakkan, beliau mengambil risiko dan meninggalkan keselesaan pekerjaan korporatnya di Malaysian Airlines (MAS).

Tetapi kemudian wabak COVID-19 melanda dan mencabar kepintaran serta ketangkasan perniagannya.

Kredit Gambar: Cowboys Barbecue & Grill

Memantapkan perniagaan dengan lebih kukuh

Nasib baik mereka, Cowboys Barbecue & Grill mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi. Ini membolehkan mereka menukar strategi perniagaan dengan pantas.

Nizar masih jelas mengingati bulan pertama yang penuh cabaran, di mana semua orang dari pasukannya berusaha keras untuk beralih perkhidmatannya yang sebelum ini hanya beroperasi secara fizikal, ke pasaran online.

Pada awalnya, perniagaannya hampir tidak mendapat pulangan modal selama empat bulan pertama. Nizar terpaksa menggunakan wang dari tabungannya sendiri dan menjual trak makanan kedua untuk mengekalkan perniagaan tersebut. Selain itu, mereka juga bekerjasama dengan NGO untuk menyediakan makanan bagi kumpulan B40 di kawasan mereka untuk menampung kos juga.

Kredit Gambar: Cowboys Barbecue & Grill / Chin B

Namun, sebagai pemilik perniagaan, dia menyedari ini tidak mampan dalam jangka masa panjang.

“Saya tahu bahawa sebaik sahaja ekonomi dibuka semula, pasaran makanan akan menjadi sangat berbeza [dan] saya tidak dapat bertahan beroperasi hanya dengan trak makanan,” Nizar berkongsi. “[Jadi] saya mengambil masa ini untuk merombak menu kami dengan rancangan pembukaan restoran BBQ.”

Secara khusus, menu mereka beralih dari konsep trak makanan kepada konsep restoran yang lebih berorientasikan keluarga. “Langkah ini benar-benar menyelamatkan kami. Penghantaran kami meningkat dan daripada bimbang tentang cara mendapatkan pesanan, saya harus memikirkan cara untuk mengendalikan permintaan yang semakin meningkat.”

Ada kalanya mereka terpaksa menjalankan syif semalaman demi memenuhi permintaan yang tinggi. Kejayaan inilah yang memberikan Nizar dan pasukannya keyakinan untuk membuka kedai fizikal mereka di Ara Damansara pada tahun 2023.

Kredit Gambar: Cowboys Barbecue & Grill

Walaupun tempat baru, perisanya tidak berubah

Untuk menyelaraskan kedainya dengan budaya BBQ Amerika, Nizar membuat keputusan untuk menyediakan makanan di ruang yang menyerupai gudang. Ia menampilkan konsep terbuka di mana tetamu boleh menyaksikan proses pembakaran dan menikmati aroma brisket yang sedang dimasak.

Bagi mereka yang baru mengenali barbeku Texas, Nizar mengesyorkan untuk mencuba Pinggan Yellowstone mereka yang sesuai untuk dua orang. Ini merupakan pilihan yang sempurna untuk memperkenalkan diri kepada masakan Texas, kerana anda akan mendapat Signature Smoked Brisket, Smoked Pulled Lamb, dan pilihan tiga sisi serta tortilla buatan sendiri.

Selain itu, terdapat juga pelbagai burger, quesadilla, dan taco yang diisi dengan daging barbeku, jika anda mencari makanan yang lebih ringan.

Kredit Gambar: Cowboys Barbecue & Grill

Kebanyakan ramuan yang digunakan diperoleh secara tempatan, tetapi dagingnya diimport, seperti Angus Premium dari Argentina. “Kami memilih daging ini kerana kandungan lemaknya yang baik dan saiznya yang besar,” bekas jurutera tersebut berkongsi.

Untuk sapuan kering, beliau menjelaskan bahawa BBQ Texas sejati hanya menggunakan garam dan lada, serta diasap menggunakan kayu mesquite. Tetapi dia menambahkan lebih banyak perasa untuk menghasilkan sapuan kering yang lebih memenuhi selera warga Malaysia.

Mengambil kira faktor ekonomi yang tidak membenarkan penggunaan kayu keras Amerika yang diimport, dia membuat improvisasi dengan menggunakan kayu buah-buahan, terutamanya rambutan. Ini memberikan aroma yang halus dan wangi tanpa menjadi terlalu kuat. Kayu ini juga membakar secara perlahan, jadi ia pilihan yang sesuai untuk barbeku.

Meskipun pasaran masih niche…

Pada masa ini, Cowboys Barbecue & Grill belum menerima pensijilan halal dari JAKIM kerana proses ini agak sukar dan mengambil masa. Namun, mereka berharap dapat menelitinya pada masa akan datang apabila mereka memiliki kemampuan untuk melakukannya.

Nizar memberi jaminan kepada kami bahawa semua ramuan yang digunakan telah disahkan halal dan kebersihan restorannya dipelihari dengan baik.

Image Credit: Benjamin T P Tan

Pemilik tunggal perniagaan ini kini menumpukan perhatiannya kepada pengembangan restoran dan cabang kateringnya. Dia juga sedang mencari rakan kongsi perniagaan untuk meningkatkan Cowboys Barbecue & Grill bersama-sama. “Menguruskan perniagaan seorang diri memang mencabar,” katanya.

Melihat landskap sekarang, Nizar berkongsi bahawa masih banyak yang perlu dididik orang ramai mengenai BBQ Amerika. Tetapi sejak tiga tahun lalu, terdapat lebih banyak restoran di pasaran yang menawarkan masakan tersebut, termasuk SmokePapa BBQ di Pulau Pinang.

“Saya rasa COVID-19 memberi sumbangan dalam satu aspek kerana semua orang terperangkap di rumah dan mempunyai lebih banyak masa luang. Dalam BBQ, mempunyai masa dan kesabaran untuk memantau proses pembakaran adalah kunci,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, dia yakin bahawa BBQ masih merupakan perkara yang sangat khas dan tidak bimbang tentang persaingan. Lagipun, berapa banyak jenama tempatan yang boleh anda namakan yang menghidangkan brisket yang dimasak selama 10 jam?

Kredit Gambar: Cowboys Barbecue & GrillKetahui lebih lanjut tentang Cowboys Barbecue & Grill di sini. Baca artikel lain kami tentang perniagaan F&B di sini.

Kredit Gambar Featured: Cowboys Barbecue & Grill